Archive for October, 2013

10 TIPS Untuk Bertudung LABUH

October 20, 2013

1) Mulakan dengan memakai stokin kaki dan sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung. Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar.

2) Cari dan sertailah kumpulan usrah yang benar iaitu yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. InsyaAllah.

3) Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.

4) Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asas seperti solat, puasa dan sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat-sahabat yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh, semua ini seiring).

5) Perbanyakkan membaca al-Quran & mentadabbur (mengkaji) maknanya. Tidak ada gunanya pembacaan al-Quran tanpa memahami isinya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib.

6) Apabila hati sudah semakin kuat, semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha (mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.

7) Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.

8 ) Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudung Tudung Turki/Mesir/Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku dan menutupi punggung. Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin.

9) Dalam pada berusaha menjaga penampilan, langkah 1-6 masih dipraktikkan dengan istiqamah (berterusan). Iman ditingkatkan, ibadah diperhebatkan, akhlak dipermantapkan. InsyaAllah.

10) Kemudian, setelah bersedia untuk memakai tudung labuh berjahit, bolehlah mulakan dengan berselang-seli dengan Tudung Turki/Mesir bidang 60 sebelum istiqamah dengan tudung labuh berjahit. Serta kurangkan pemakaian seluar serta mengantikannya dengan memakai kain. Memakai t-shirt muslimah dengan kain tidak ada salahnya. Bahkan lebih manis dipandang mata.

Advertisements

DR HJ MOHD SHAFIE

October 5, 2013

Profil Peribadi Pengasas Kaedah Al-Huffaz

Dr Hj Mohd Shafie, seorang akauntan bertauliah yang berjaya memformulasikan teknik hafazan sehingga 4 orang anak beliau juga huffaz serta menjadi johan Hafazan peringkat kebangsaan.

Anak sulung dari tiga orang adik beradik. Berasal dari Melaka dan dilahirkan pada 28 April 1963. Mempunyai 13 orang anak.

Pendidikan awal di Masjid Tanah English School, Melaka. Kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Datuk Abdul Razak, Seremban. Seterusnya menyambung pengajian tinggi di London School of Accountancy, United Kingdom dan kembali semula ke tanah air dengan kelulusan ACCA (Association Chartered of Certified Accountant).

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai akauntan di beberapa buah firma. Di samping itu bertugas sebagai pensyarah sambilan di UKM dan UiTM.

Usaha menghafaz Al-Quran yang beliau lakukan bukanlah sejak kecil. Ia bermula ketika beliau sedang menuntut di London. Akhirnya beliau berjaya menghafaz 30 juzuk ketika berumur 30 tahun. Antara guru-guru talaqqinya dalam hafazan ialah Ustaz Asmungi Al-Hafiz, Ustaz Muhammad Jim Al-Hafiz dari Mali, Afrika dan Ustaz Abdul Rauf Al-Hafiz dari Al-Azhar, Mesir. Manakala dalam bidang ilmu tajwid, beliau berguru dengan Y.Bhg Dato’ Haji Hassan Azhari.

Melalui pengalaman yang dilaluinya, beliau telah merekabentuk satu sistem hafazan yang dinamakan Al-Huffaz bagi membantu sesiapa sahaja yang berminat menghafaz Al-Quran, baik kanak-kanak mahupun dewasa, dari kalangan yang sedang bekerja atau bersara, sama ada telah mengenal Al-Quran atau masih belum dapat membaca.

Latar Belakang Pendidikan Penceramah:

PhD. Contemporary Islamic Thought ( H.S – USA )
ACCA (London School of Accountancy UK)
Diploma Pengajian Usulluddin (UM)
Syahadah Tahfiz al-Quran (Mal – Msr)