Archive for November, 2012

KRISIS MAKANAN DUNIA

November 30, 2012
Dalam dua tiga bulan yang lepas, masalah krisis makanan global telah semakin mendapat perhatian para pemerhati ekonomi dunia. Antara perkara yang menjadi perhatian adalah peningkatan harga makanan di pasaran global yang telahpun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telahpun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia. Di Mahalla El-Kobra, Mesir, ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang, tetapi tiada kenaikan gaji, telah membakar bangunan kerajaan, mencuri di kedai-kedai dan melontar batu ke arah polis di bandar industri tersebut baru-baru ini. Penunjuk perasaan menyerbu majlis perbandaran, memecahkan tingkap dan melarikan komputer serta dokumen lain. Sekurang-kurangnya dua buah sekolah dibakar dan beberapa buah bank dirosakkan. Hampir 100 orang ditahan di seluruh Mesir ketika ribuan penduduk tidak pergi bekerja atau ke sekolah kerana membantah kenaikan harga makanan dan keadaan kerja yang semakin teruk [BH 07/04/08]. Beberapa hari sebelum itu, akhbar melaporkan bahawa para petani di Argentina melancarkan mogok yang telah masuk hari ke-21 dan mengadakan lebih 300 sekatan jalan di seluruh negara kerana membantah dekri Presiden pada 11 Mac lalu yang menaikkan cukai eksport kacang soya sehingga 45 peratus dan mengenakan duti baru ke atas eksport lain. Akhbar melaporkan bahawa ia adalah krisis makanan terburuk negara itu di mana Presiden Cristina Fernandez sendiri menyamakannya dengan protes tiga minggu pada 1976 sehingga mencetuskan kekacauan dan rampasan kuasa tentera [BH 03/04/07].

Sementara itu, di Filipina, kerajaan telah mengumumkan bahawa pemilik gudang dan peniaga yang didapati menyorokkan beras di Filipina akan didakwa atas tuduhan melakukan “sabotaj ekonomi” yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Setiausaha Kehakiman, Raul Gonzalez berkata, ejen-ejen kerajaan dengan bantuan polis sudah mula melancarkan serbuan terhadap peniaga beras haram di bandar Cebu, tengah negara ini [UM 04/04/08]. Di Thailand pula, walaupun ia merupakan antara negara pengeksport beras utama dunia, krisis kekurangan beras telah dilaporkan berlaku di penjara negara Gajah Putih itu. Harga beras yang semakin mahal dibimbangi boleh mencetuskan rusuhan di penjara berikutan kontraktor yang dilantik pihak berkuasa untuk membekalkan makanan kepada penghuni pusat tahanan dipercayai mengalami kerugian, kata ketua Jabatan Penjara, Wanchai Rujanawong. Akhbar The Bangkok Post melaporkan, pihak berkuasa penjara bimbang sekiranya pembekal menghentikan penghantaran beras ia boleh menyebabkan masalah kekurangan makanan di penjara yang seterusnya akan mencetuskan rusuhan di kalangan banduan [BH 06/04/08]. Terbaru, PBB memberi amaran peningkatan harga makanan yang berterusan boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia. Amaran PBB itu dinyatakan oleh John Holmes, Timbalan Setiausaha Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bencana PBB di sidang bantuan kemanusiaan di Dubai. Harga purata makanan meningkat sehingga 40 peratus sejak pertengahan 2007, katanya. “Harga makanan dunia meningkat dengan ketara. Kesan krisis makanan ke atas keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan kerana rusuhan sudah meletus di beberapa negara”, tegasnya lagi [BH 09/04/08].

Sekilas Fakta

Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya tahun lepas, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah bagaimana keadaannya kelak sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia masih belum terkesan dengan fenomena ini, namun berdasarkan trend ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil melanda negara.

Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan hanya sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi semakin kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkat dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun ini [Sunday Herald 09/03/08].

Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia di mana kita dapat saksikan ketidakpuasan hati terhadap apa yang sedang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. ‘Rusuhan Tortilla’ telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga tortilla (antara makanan ruji rakyat Mexico) yang meningkat sebanyak 400%. ‘Mogok Tempe’ selama tiga hari oleh para peniaga pula telah berlaku di Indonesia pada awal Januari lalu apabila harga bahan asas pembuatan tempe iaitu kacang soya meningkat dari sekitar Rp3,000 pada tahun 2007 kepada Rp7,400 pada tahun ini. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, telah mengatakan bahawa di banyak negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih 2 kali ke 3 kali ganda untuk makanan akibat dari kemelut ini [BBC 11/03/08]. Keadaan yang lebih dahsyat telah berlaku di India apabila dilaporkan lebih 25,000 petani telah membunuh diri mereka tahun lepas akibat dari kemurungan yang berpunca daripada kekurangan hasil pertanian dan peningkatan hutang [India Today]. Jumlah kematian ini tidak lagi termasuk dengan korban nyawa yang berpunca daripada masalah kebuluran dan kekurangan makanan yang selama ini telah lama melanda negara-negara miskin dan juga rakyat yang miskin di negara-negara yang kaya. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan [‘State of Food Insecurity in the World 2006’, PBB]. Dari jumlah ini, hampir 16,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat dari masalah yang berkaitan dengan kekurangan makanan [‘Where and Why Are 10 Million Children Dying Every Year?’ The Lancet 361:2226-2234( 2003)].

Yang Dikatakan Menjadi Punca Krisis

Pakar ekonomi kapitalis tidak pernah kering dengan idea dan pandangan apabila berlaku permasalahan yang melibatkan ekonomi dunia. Begitu juga mereka tidak pernah lengang dengan seribu satu macam kaedah penyelesaian bagaimanakah caranya untuk mengatasi permasalahan yang timbul. Tetapi sebelum penyelesaian (yang tidak pernah menyelesaikan) di ambil, tabiat biasa Kapitalis adalah membincangkan ‘teori’ yang menjadi punca kepada krisis. Bagi Kapitalis, pada amnya, ada dua elemen asas yang menjadi perbahasan dalam isu krisis ini. Yang pertama adalah isu ‘jumlah bekalan makanan’ dan yang keduanya adalah isu ‘harga bahan makanan’. Kapitalis selalu menuding bahawa kerana kedua masalah inilah yang menyebabkan timbulnya kekangan bagi pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan. Kedua-dua elemen ini juga masing-masing mempunyai faktor penyebab tertentu dan juga faktor penyebab yang dikongsi bersama yang dikatakan menjadi punca mengapa krisis makanan global berlaku.

Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya. Contohnya (sebagaimana dilaporkan), tabiat makan penduduk China telah berubah di mana secara per kapita, penduduk Cina menghabiskan 50kg daging pada tahun 2007 berbanding hanya 20kg pada tahun 1985.

Keadaan yang ada dikatakan menjadi semakin rumit apabila faktor pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam, pencemaran dan perubahan iklim dunia. Australia dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun lepas menyebabkan hasil gandum negaranya telah menyusut sebanyak 60%. Hasil tuaian dari China juga telah menyaksikan penyusutan sebanyak 10% sepanjang 7 tahun yang lalu. Faktor-faktor ini dikatakan menjadi sebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia.

Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia. Secara langsung, kenaikan harga minyak telah memaksa kenaikan kos bagi mengeluar dan memasarkan makanan (kos untuk menjana tenaga bagi menggerakkan kilang, jentera, kos pengangkutan dan sebagainya). Peningkatan harga minyak juga dilihat menjadi penyebab kenaikan kos baja sekali gus melonjakkan harga bahan makanan di pasaran.

Di samping itu, ‘kegilaan’ terhadap penghasilan bahanapi bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekali gus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan pemakanan. Pada tahun lepas sahaja, suku daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan etanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahanapi bio) yang mana jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 60% pasaran jagung dunia.

Begitulah antara sebab-sebab popular yang sering diutarakan oleh pakar ekonomi Kapitalis. Namun sebelum kita terus membuat kesimpulan dan bertindak mencari penyelesaian, kita teliti dulu akan realiti ‘punca-punca’ yang dinyatakan, sama ada ia adalah punca yang hakiki atau hanya merupakan ‘justifikasi’ kerana mahu menuding kesalahan kepada yang lain, sekali gus dapat menutup kebobrokan ‘sistem Kapitalis’ itu sendiri.

Hakikatnya, ada faktor-faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan Bin Ajaib mengapakah boleh berlaku kekurangan bekalan makanan apabila tahap pengeluaran makanan dunia sebenarnya bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk. Jika dibandingkan antara jumlah penduduk pada tahun 1961 dan 2005, kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda (berdasarkan data terkini dari World Resources Institute). Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah (semakin banyak) saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu pena’akulan yang meleset. Pada dasarnya, mereka yang memberikan alasan ini hanyalah meng‘kakak-tua’kan teori yang dikemukakan oleh Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18 di mana beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society’ pada tahun 1798. Di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik. Jika teori ini betul, maka beberapa ratus tahun selepas zaman Malthus, sebahagian populasi manusia akan mengalami kebuluran dan kekurangan makanan. Perlu diperhatikan bahawa Malthus menulis bukunya ketika Britain mempunyai populasi 11 juta penduduk dan pada kurun 21, populasi penduduk Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat mana-mana kawasan di Britain yang mengalami krisis kekurangan makanan atau pun kebuluran yang serius, walaupun Britain pada hakikatnya mempunyai keluasan tanah yang tidak begitu besar berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Justeru, pendapat Malthus hanyalah benar dari segi pertambahan penduduk dunia namun teori beliau ternyata salah dalam meramal bahawa pertumbuhan makanan tidak akan dapat menampung pertambahan penduduk dunia.

Untuk isu perubahan tabiat makan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh kerana manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak atau sebenarnya manusia zaman sekarang ‘membazir’ lebih banyak? Jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa makanan penduduk dunia, kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 bilion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang. Jadi, logikkah tabiat pemakanan manusia dikatakan menjadi punca kepada krisis kekurangan makanan?

Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberi kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjangan sehingga surutnya jumlah makanan dunia, sebagaimana didakwa oleh Kapitalis. Tambahan pula, di kebanyakan negara, mereka biasanya sudah pun menyediakan stok makanan yang mencukupi untuk menghadapi kesan jangka pendek yang ditimbulkan dari bencana alam ini. Banyak bahagian di dunia ini yang dilanda bencana alam sejak ratusan tahun dahulu lagi, namun krisis kekurangan bekalan tidak pula timbul, logikkah ini dikatakan sebagai punca? Di Malaysia sendiri sebagai contoh, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia (yang bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada di dalam krisis makanan. Jika wujud pun masalah, ia adalah masalah pengagihan yang tidak betul yang dilakukan oleh kerajaan yang menyebabkan bekalan tidak sampai kepada mangsa. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, ia sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisien.

Begitu juga dengan permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahanapi bio. Ia sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah. Ini belum lagi mengira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (futures market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tidak realistik. Yang perlu difahami di sini adalah, masalah pengurusan bekalan yang diperkatakan adalah berhubung kait dengan ‘sistem’ yang diguna pakai untuk menguruskan ekonomi di dalam sesebuah negara. Ini kerana, perbezaan pandangan hidup (ideologi) pemerintah dan sistem ekonomi yang mereka anuti/terapkan akan membezakan tahap penilaian mereka (pemerintah) dalam membuat polisi untuk menentukan apakah yang perlu disimpan, apakah yang perlu dihasilkan, apakah yang perlu dibelanjakan dan sebagainya. Jika benak pemerintah didominasi pemikiran kapitalisme yang sememangnya rakus dalam mengambil hak rakyat, maka inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada segala kerosakan dan menyebabkan berlakunya krisis. Ini adalah kerana, ‘aqidah manfaat’ yang begitu kuat, yang dianuti mereka, menyebabkan para pemerintah Kapitalis ini hanya berminat untuk ‘membuncitkan’ perut masing-masing sahaja, tanpa mempedulikan kesusahan dan penderitaan rakyat. Nafsu serakah mereka yang berkuasa, yang mengaut sebanyak mungkin kekayaan negara, dan perangai mereka yang hanya ‘memberi makan’ kepada anak bini dan kroni, inilah yang sesungguhnya membawa manusia kepada krisis yang sedang dihadapi sekarang. Dengan sistem pemerintahan dan hawa nafsu Kapitalis ini, ia bukan sahaja menjadi punca kepada kekurangan makanan, malah punca kepada segala keburukan yang ada.

Penyelesaian Dari Islam

Setelah menyedari akan pembohongan, kebobrokan dan kejelekan sistem ekonomi Kapitalis, ke manakah lagi akan kita tuju dalam menghadapi segala malapetaka yang menimpa ini? Sebahagian besar pemerintah dan juga umat Islam menolak sistem Sosialis atau sistem komunis untuk diterapkan di dalam kehidupan kerana ‘terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawanya, namun dalam masa yang sama, mereka sebenarnya mengambil dan mengamalkan sistem yang lebih buruk – sistem Kapitalis, yang juga adalah sesat dan kufur. Malangnya mereka ‘tidak terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawa oleh sistem Kapitalis kerana terpesona dengan ‘manfaat’ yang mereka nikmati di bawahnya.

Menurut Islam, makanan adalah salah satu keperluan asas yang perlu dijamin oleh negara bagi setiap warganegara Daulah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang Khalifah untuk memastikan bahawa bahan makanan dapat sampai ke setiap mulut manusia yang bernaung di bawah Khilafah. Daulah Khilafah, apabila tertegak nanti, akan menyusun strategi bagi memastikan bahawa permasalahan makanan tidak akan timbul. Strategi Daulah ini adalah berasaskan 4 kekuatan yang secara tabi’i terdapat di dalam dunia Islam. Empat kekuatan tersebut adalah; 1) tanah yang subur, 2) sumber air yang melimpah-limpah, 3) sumber manusia yang besar, 4) kekayaan dari sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat di dalam dunia Islam, politik pertanian Daulah akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara – penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan hukum syarak yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru (ihya’ al-ardh) dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan dengan meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.

Dari aspek sumber air, Allah telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum Muslimin. Di dunia Islam, terdapat lebih dari 150 billion meter padu air permukaan (sungai, tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu!) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Apa yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak, masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Daulah akan memastikan, melalui penerapan hukum syarak, bahawa sumber ini diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.

Dari aspek sumber manusia, kini, terdapat lebih 48 juta kaum Muslimin yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam Khilafah mendapat keperluan asasnya, Daulah akan memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan segenap bantuan kepada mereka.

Kekuatan keempat, yakni kekayaan sumber alam semulajadi merupakan aspek yang paling menonjol di dalam dunia Islam. Untuk memberikan gambaran akan kekayaan yang ada di dunia Islam, Amerika, dalam kerakusannya, telah mendapat keuntungan minyak dari Arab Saudi sahaja sejumlah 86 trillion dolar!!! Bayangkan kekayaan yang ada di seluruh dunia Islam!! Sekiranya jumlah ini dibahagikan kepada seluruh kaum Muslimin, setiap seorang layak mendapat USD66,000! Bukan ini sahaja, dunia Islam ini dipenuhi dengan laluan-laluan strategi dan ini juga boleh dieksploitasi untuk mendapat keuntungan. Apa yang diperlukan hanyalah seorang Khalifah yang ikhlas yang akan menguruskan jumlah kekayaan yang besar ini secara efektif dan efisien bagi memastikan umat Islam dan bukan Islam yang tinggal di dalam Daulah hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Pada masa yang sama, hukum-hukum yang berkaitan untuk memastikan setiap individu mendapat sumber makanan seperti hukum nafkah, zakat dan sebagainya perlu ditegakkan secara menyeluruh agar tiada yang ketinggalan dalam hak mereka untuk mendapatkan makanan. Sekiranya berlaku bencana, Khalifah juga wajib memastikan halangan-halangan dapat diatasi dalam pengedaran makanan kepada yang memerlukan.

Para khalifah terdahulu telah memerintahkan agar kawasan-kawasan pertanian dibangunkan dan dimajukan dengan sistem pengairan dan sebagainya seperti yang dilakukan di wilayah Basra (Iraq) dan Sind (Pakistan). Dana yang berlebihan di dalam Baitul Mal juga telah dibelanjakan oleh Daulah pada pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk tujuan pembangunan pertanian. Pada era pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab, Madinah telah dilanda kemarau dan mengalami kekurangan makanan. Pada waktu itu, Khalifah Umar telah memerintahkan agar bekalan makanan dibawa masuk ke Madinah dari wilayah-wilayah lain yang tidak terkesan seperti dari Mesir dan Syria. Pada masa yang sama, perbendaharaan negara dibelanjakan untuk membeli dan menyediakan makanan kepada penduduk Madinah. Pendekatan yang sama juga telah dibuat oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu Jazirah Arab telah dilanda kemarau yang teruk. Usaha-usaha ini dilakukan atas dasar memenuhi tuntutan hukum syarak agar keperluan makanan bagi setiap manusia di dalam Daulah dapat dipenuhi setiap masa, dan bukannya kerana ingin mendapat keuntungan dari suatu aktiviti ekonomi.

Khatimah

Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan menurut ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maha Suci Allah yang telah menurunkan agama Islam yang kita anuti ini untuk menyelesaikan segenap permasalahan manusia, sehingga tidak ada satu masalah pun yang tidak boleh diselesaikan oleh Islam. Bagi sesiapa yang mengi’tiqadkan bahawa sistem ekonomi Islam tidak mampu menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah kufurlah mereka. Bagi sesiapa yang tidak mahu menerapkan sistem ekonomi Islam tetapi masih meyakini bahawa ia boleh menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah zalim dan fasiklah mereka. Bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk menerapkan sistem ekonomi Islam untuk menggantikannya dengan sistem Kapitalis yang kufur ini, maka telah berdosalah mereka. Sesungguhnya Allah selaku Pencipta manusia, alam dan kehidupan, Dia Maha Mengetahui akan kelemahan manusia dan alam ciptaanNya dan Dia telah pun memberikan penyelesaianNya kepada kita semua. Rasulullah dan para Khalifah Allah yang terdahulu telah pun menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan mereka dan hasilnya, mereka berjaya keluar dari segala masalah dengan rahmat Allah.

Sebagaimana telah dijelaskan, beginilah caranya Islam mengatur urusan manusia termasuklah dalam mengatur urusan makan dan minum. Bagaimanapun, mekanisma-mekanisma yang dinyatakan di atas menjadi rumit dan amat sulit sekali untuk dilaksanakan dengan adanya pemimpin sekular dalam konteks negara bangsa yang ada sekarang. Sebagai contoh, untuk mendapatkan bantuan makanan dari Mesir untuk umat Islam di Somalia atau Indonesia secara percuma, atau mendapat bantuan makanan dari Arab Saudi atau Malaysia kepada penduduk Islam Afrika secara percuma, semua ini hanyalah umpama mimpi di siang hari. Di sinilah kita sekali lagi dapat melihat bagaimana pemimpin sekular dan negara-bangsa yang ada pada masa sekarang telah menjadi penyekat, pelemah malah penghancur kepada kekuatan Islam dan pembawa malapetaka kepada umat Islam itu sendiri khususnya dan manusia amnya. Sesungguhnya hanya dengan adanya seorang Khalifah dan Daulah Islam yang satu untuk semua umat Islam, maka barulah mekanisma ini tampak kekuatannya dan akan terbukti keberkesanannya. Tanpanya, umat Islam di negara-negara bangsa yang ada kini terus merintih dan bergenang air mata darah menyaksikan kemelut yang melanda. Atas dasar inilah, Hizbut Tahrir berkali-kali mengingatkan umat Islam di seluruh dunia agar terus istiqamah dalam menjalankan usaha untuk mengembalikan Daulah Khilafah yang akan menyelesaikan segala permasalahan yang sedang kita hadapi, sama ada berupa masalah pemakanan, maruah, nyawa mahupun darah. Bersatulah dan bergeraklah wahai saudaraku agar Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah kembali ke pangkuan kita secepat mungkin. ALLAHU AKBAR!

MALAYSIA – NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?

November 30, 2012

Isu Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Islam’ mula diperkatakan dengan hangat apabila Dato’ Seri Dr. Mahathir (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) mengisytiharkannya secara terbuka pada 29/09/01 semasa Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Bermula dari sini, ada pihak yang kerana ingin menjaga periuk nasi hanya tunduk dan ‘yes sir’ sahaja kepada apa yang diumumkan. Di samping itu, tidak kurang juga bilangan pihak yang menyanggah pernyataan tersebut, termasuklah dari golongan bukan Islam sendiri. Yang pasti, perdebatan mengenainya sehingga kini masih belum sampai ke penghujung. Baru-baru ini pula, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab pertanyaan dari wartawan mengatakan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri. Menurutnya lagi, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi. Ketika diajukan soalan tentang kerajaan kelihatan sedang menuju ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, Najib berkata: “Saya perlu betulkan anda. Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang ditakrif oleh Barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara. Kita tidak pernah berpendirian sedemikian (kerana) kita sentiasa didorong oleh pegangan kita kepada asas Islam. Tanggapan anda adalah salah.” [UM 18/07/07]

Hasil dari kenyataan Najib tersebut, banyak pihak yang tidak berpuas hati dan menyuarakan ketidaksetujuan mereka, termasuklah dari Parti Komponen Barisan Nasional sendiri. Dalam reaksinya, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan memetik memorandum yang diserahkan oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada 27/09/1956 yang berbunyi “Agama Malaysia adalah Islam. Kepatuhan kepada prinsip ini tidak boleh boleh meminggirkan rakyat bukan Islam yang memeluk dan mengamalkan agama masing-masing dan tidaklah bermakna bahawa Malaysia bukannya Negara Sekular”. Ong seterusnya memetik satu nota yang disediakan oleh Colonial Office bertarikh 23/03/1957 semasa London Conference Talks yang berbunyi,

“Para anggota delegasi Parti Perikatan menekankan bahawa mereka tidak ada niat untuk mewujudkan (negara) teokrasi Muslim tetapi bahawasanya Malaya akan menjadi Negara Sekular”. “Ini adalah niat asal yang begitu jelas dan nyata oleh ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC”, kata Ong. Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee pula menyatakan bahawa sifat semulajadi Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya sekular menjadi asas kepada pembentukan bangsa semenjak 1957 dan diimplementasikan semula pada 1963 (semasa penubuhan Malaysia). “Kedudukan Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular juga telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 1988 di dalam kes Pendakwaraya –vs- Che Omar”, tegas Wong lagi. [The Star 19/07/07]

Kecelaruan Takrif

Mutakhir ini kita melihat hasrat umat untuk kembali semula kepada Islam semakin meningkat. Arus kebangkitan Islam telah mengalir di mana-mana dan menyapu apa-apa sahaja yang menghalang laluannya. Rata-rata umat Islam sudah mula nampak bahawa keburukan yang membelenggu mereka selama ini adalah berpunca dari sistem sekular yang busuk. Kebangkitan ini dapat dilihat telah menjadi ancaman kepada mereka yang memegang tampuk kekuasaan. Justeru, agar tidak ditolak oleh kebangkitan rakyat yang mahukan Islam, maka golongan ini terpaksa merubah ‘haluan’ mereka agar nampak lebih ‘Islami’. Tindakan ini perlu agar mereka dilihat sejalan dengan arus (Islam) yang menerpa dan dalam masa yang sama mereka boleh kekal di kerusi pemerintahan. Padahal, pada hakikatnya, mereka boleh terus kekal di kerusi pemerintahan hanya dengan membuang sistem sekular dan menggantikannya dengan hukum-hakam Islam. Sekiranya mereka melakukan perkara ini, InsyaAllah seluruh umat Islam akan mendokong pemerintahan mereka. Malangnya mereka ternyata lebih rela membenarkan dunia yang fana’ ini membelenggu mereka.

Dalam mengubah ‘haluan’ ini, pelbagai kekeliruan ditimbulkan dalam penggunaan istilah seperti ‘sekular’ dan ‘Negara Islam’. Istilah-istilah ini ditakrif mengikut kehendak sendiri tanpa bersandarkan fakta dan dalil yang sahih. Oleh itu, kita menyaksikan pada hari ini banyak konsep, definisi dan istilah-istilah Islam yang sebelum ini begitu jelas menjadi kabur, keliru, terseleweng dan yang lebih teruk, hilang dari kamus kaum Muslimin. Walaupun istilah hudud telah dikenali ramai, namun istilah-istilah seperti ta’zir, ghanimah, jizyah, khumus, siyasah, kharaj, usyur, darul harb, darul islam dan banyak lagi ternyata kabur, malah sebahagian dari umat Islam sendiri langsung tidak memahaminya. Istilah seperti khalifah, syura, wali, jihad dan sebagainya pula telah diselewengkan sehingga lari dari maknanya yang sebenar dari segi syara’. Inilah juga apa yang telah terjadi dengan istilah Darul Islam (Negara Islam) di mana ramai umara’ dan ulama sekarang memberikan maksud baru Negara Islam yang begitu asing dari Islam, sehingga ada yang membolehkannya diterjemah mengikut acuan sendiri.

Maksud ‘sekular’ juga telah dipolemikkan sehingga umat terjerat dengan pelbagai tafsirannya. Ada yang cuba memesongkan maknanya dengan mengatakan bahawa ‘kita mesti memahami istilah sekular bukan sebagaimana takrifan Barat’ yang seolah-olah menjelaskan ‘sekular’ boleh ditakrifkan dengan maksud yang baik, jika tidak mengikut Barat. Ada yang mengatakan sekular bermaksud tidak mempercayai hari kiamat dan hisab di akhirat. Manakala sebahagian umat Islam yang lain hanya nampak sekular membawa erti politik yang dipisahkan dari agama. Justeru, adalah perlu untuk kita mencerahkan kembali kekaburan penakrifan sekularisme dan Negara Islam memandangkan telah berlaku pelbagai tafsiran mengikut kepentingan yang tersasar jauh dari maksud sebenar istilah-istilah ini.

Malaysia Dan Sekularisme Sesungguhnya Barat adalah penganut dan pengembang Ideologi (mabda’) Kapitalis yang menjadikan sekularisme sebagai akidah mereka. Kelahiran mabda ini bermula pada saat kaisar (caesars) dan raja-raja di Eropah menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama (gereja) waktu itu, dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbullah pergolakan sengit, yang kemudian membawa kepada kebangkitan ahli falsafah dan cendekiawan. Sebahagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak, sedangkan yang lainnya mengakui adanya agama, tetapi menyeru agar ia dipisahkan dari kehidupan dunia. Sampai akhirnya, pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu lebih cenderung memilih idea untuk memisahkan agama dari kehidupan yang kemudiannya menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan negara. Jika dahulu agamalah yang menjadi penentu di dalam kehidupan, sekarang, telah disepakati agar agama tidak diperhitungkan lagi dalam kehidupan ini. Maksudnya, seseorang boleh menerima mahupun menolak agama (atau Tuhan) selama mana ia (agama) tidak campurtangan dalam kehidupan.Pokoknya, agama itu harus dipisahkan dari kehidupan dan kehidupan mesti ditentukan sendiri oleh manusia.

Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang mengkehendaki segala sesuatu itu harus tunduk kepada mereka (atas nama agama) dengan para ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari adanya agama. Jadi, idea sekularisme ini sama sekali tidak mengingkari atau menolak adanya agama, cuma ia tidak menjadikan agama berperanan dalam kehidupan. Ini menjadikan agama hanya sekadar ‘formaliti’ belaka, kerana sekalipun mereka mengakui kewujudannya, namun pada dasarnya mereka menganggap bahawa kehidupan dunia ini tidak ada hubungannya dengan agama. Justeru, kita menyaksikan bahawa sesiapa yang mahukan agama, maka mereka akan pergi ke gereja-gereja untuk ‘berhubung’ dengan Tuhan mereka tetapi apabila mereka (di luar gereja) melakukan aktiviti jual beli, mengambil riba, sewa-menyewa, mencuri, membunuh, berzina dan sebagainya, maka segala peraturan dalam hal ini ditentukan oleh mereka sendiri tanpa ada ketentuan atau ‘hubungan’ dengan Tuhan. Penentuan jenis hukuman, terpuji dan tercela, halal dan haram dan sebagainya berada di tangan manusia dan boleh diubah mengikut kehendak manusia. Dengan kata lain, mereka meyakini bahawa peraturan kehidupan tidak ada ‘hubungan’ dengan Tuhan, kerana agama hanyalah berperanan dalam mengatur ‘hubungan peribadi’ seseorang itu dengan Tuhannya sahaja.

Setelah mereka sepakat untuk memisahkan agama dari kehidupan, maka timbullah persoalan bagaimana untuk mengatur kehidupan manusia, apakah yang harus dilakukan dan apakah tolok ukur yang akan digunakan. Dari sini timbullah idea demokrasi yang dianut oleh ideologi ini yang berasal dari pandangannya bahwa manusialah yang berhak membuat peraturan (undang-undang). Menurut keyakinan mereka, rakyat adalah sumber kekuasaan. Rakyatlah yang berhak membuat undang-undang dan setiap orang bebas berpendapat dan berbuat sesuka hati di dalam mengatur kehidupan ini. Oleh kerana ada terlalu ramai manusia dan ini menyukarkan proses untuk membuat sesuatu peraturan atau mengambil keputusan, maka mereka menetapkan agar dilantik wakil (rakyat) dan diambil suara majoriti di dalam apa jua keputusan. Dengan ini, mereka boleh menggubal, meminda dan menghapuskan mana-mana undang-undang semahu mereka berdasarkan kaedah atau kehendak majoriti tadi. Inilah konsep sekular yang mereka terapkan di dalam negara mereka. Kemudian, apabila mereka menjajah negeri-negeri umat Islam, konsep inilah yang mereka bawa dan terapkan di dalam negeri umat Islam sehingga kita saksikan sekarang di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia, konsep sekularisme, iaitu konsep memisahkan agama dari kehidupan ini (faslud deen’ anil hayah), telah diterapkan dengan baik dan sempurnanya.

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan golongan bukan Islam benar-benar memahami akan hakikat ini. Sebab itulah mereka boleh mendatangkan fakta yang tidak dapat disangkal membuktikan yang Malaysia adalah sebuah negara sekular. Malangnya, dengan hanya pengisytiharan oleh seorang pemimpin, banyak pihak cuba menegakkan benang yang basah. Dalam ruangan yang serba sempit ini, kami paparkan sedikit bukti baik secara normatif, empirik mahupun historis yang dapat disaksikan oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran berkenaan hakikat Malaysia sebagai sebuah negara sekular:

(i) Bukti Normatif:

Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh sikafir Lord Reid adalah bukti yang paling jelas meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama dengan kedudukan Islam hanyalah sebagai agama rasmi. Ini diperjelaskan lagi dari peristiwa semasa majlis sambutan harijadi Tunku Abdul Rahman yang ke-81 pada tahun 1983 di mana beliau menegaskan

“Perlembagaan mestilah dihormati dan diikuti. Pernah adanya percubaan oleh segelintir orang untuk cuba memperkenalkan undang-undang agama dan undang-undang moral. Ini tidak dibenarkan. Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi”.

Dari sudut ekonomi pula, sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem ekonomi Kapitalis di mana riba menjadi tunjang kepada banyak aktiviti perdagangan, khuususnya perbankan. Judi dan arak dibenarkan dengan hanya memberikan satu tauliah yang dipanggil ‘lesen’. Hak umum rakyat yang wajib disediakan secara percuma oleh pemerintah seperti pendidikan, kesihatan, petrol, air, jalanraya dan lain-lain dikenakan bayaran sesuka hati oleh pemerintah. Ada yang berdalih dengan mengatakan Malaysia adalah negara Islam dengan adanya Bank Islam, pajak gadai Islam (ar-Rahn), universiti Islam dan sebagainya. Mereka jahil bahawa penerapan ‘nilai-nilai’ Islam di dalam sistem Kapitalis tidak sekali-kali menjadikan sistem itu Islam, sebagaimana jika kita melihat Ah Chong atau Muthusami menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam tidaklah menjadikan mereka Muslim.

(ii) Bukti Empirik:

Bukti empirik pula boleh dilihat dengan jelas dari peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang diterimapakai dan diterapkan di negara ini. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa ia adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang diluluskan bertentangan dengan Perlembagaan, maka ia secara otomatik akan terbatal. Peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran di bawah (lebih rendah dari) Perlembagaan dan dengan sendirinya menafikan kedudukan Al-Quran dan Hadis yang sepatutnya menjadi undang-undang tertinggi (dan satu-satunya undang-undang) bagi negara. Kewujudan dua sistem mahkamah (sivil dan syariah) mengukuhkan lagi hakikat yang Malaysia adalah negara sekular (sila rujuk ‘SN117 Konflik Antara Agama’ dan ‘SN125 Sijil Mati Untuk Lina Joy’ untuk penjelasan lanjut). Dari sudut pemerintahan pula, sistem yang dilaksanakan adalah Demokrasi berparlimen – sebuah sistem (sekular) yang dicedok sepenuhnya dari penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat Undang-Undang) hendaklah diketepikan. Jadi, jika majoriti manusia bersetuju untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, maka ini adalah sah menurut amalan demokrasi-sekular. Pendek kata, undang-undang boleh digubal, dipinda atau dihapuskan sesuka hati oleh manusia hanya dengan undi majoriti. Di sinilah peranan agama dinafikan secara total di dalam menentukan kehidupan.

(iii) Bukti Historis:

Hasil dari penjajahan kafir British ke atas Tanah Melayu yang sebelumnya pernah berada di bawah pemerintahan Islam, undang-undang Barat yang berasaskan sekular telah diperkenalkan. British telah memaksa umat Islam menerima undang-undang mereka. Penggantian undang-undang ini tercatat dalam sejarah penentangan hebat oleh para ulama di Tanah Melayu. Penentangan Naning (1831-1832) yang dipimpin Dol Said bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Apabila Undang-undang 99 berteraskan Islam diketepikan penjajah, peristiwa ini telah memunculkan penentangan di Perak. Di Kelantan pula, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang berkenaan cukai hasil. Ia dipimpin Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram dan dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbau di Pasir Puteh. Di Terengganu, gerakan dimulakan oleh Sultan sendiri, kemudian oleh Hj Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggot dan Tok Janggut (Lebai Deraman). Di Pahang, Dato’ Bahaman, To’ Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain telah bangkit meniupkan jihad melawan British yang telah memaksa pelaksanaan undang-undang British menggantikan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Namun, penjajah berjaya menguasai politik Tanah Melayu dengan kelicikan dan kekuatan mereka. Sejak itu urusan pemerintahan diurus dengan undang-undang British dan merekalah yang menentukan perjalanan pentadbiran dan pemerintahan berdasarkan sistem sekular mereka yang diwarisi sehingga ke hari ini.

Definisi ‘Dar’ (Negara) Islam

Istilah Negara Islam (Darul Islam) adalah istilah syara’. Negara Islam menurut syara’ adalah suatu wilayah yang melaksanakan hukum–hakam Islam dan keamanan wilayah tersebut berada di tangan Islam, iaitu di bawah kekuasaan dan kekuatan kaum Muslimin, walaupun majoriti penduduknya bukan Islam. Oleh itu, untuk menentukan keadaan sebuah wilayah, apakah termasuk Negara Islam atau Negara Kufur, bukanlah negeri atau penduduknya yang diambil kira, tetapi undang-undang di wilayah tersebut dan keamanannya. Apabila hukum (undang-undang) yang diterapkan oleh suatu wilayah adalah Islam dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah seperti inilah yang disebut Darul Islam atau Negara Islam. Sedangkan apabila hukum-hakam (undang-undang) yang diterapkannya adalah undang-undang kufur dan keamanannya tidak berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah demikian disebut Darul Kufur atau Darul Harb. Pengertian ‘dar’ ini diambil dari sebuah hadis riwayat Sulaiman ibnu Buraidah yang di dalamnya tercantum:

“Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (yang merupakan darul kufur) ke darul muhajirin (darul Islam yang berpusat di Madinah) dan beritahulah kepada mereka bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana hak kaum muhajirin dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum muhajirin.”[HR Muslim]

Hadis ini menyatakan dengan jelas wujudnya pembezaan antara Darul Islam dan Darul Kufur. Hadis ini menunjukkan bahawa apabila mereka tidak berpindah, maka hak mereka tidak sama dengan kaum muhajirin iaitu orang-orang yang telah berada di Darul Islam. Dengan demikian, hadis ini sesungguhnya telah menjelaskan perbezaan hukum (undang-undang) antara orang yang telah berhijrah dan yang tidak. Darul Muhajirin adalah Darul Islam pada zaman Rasulullah dan selainnya adalah Darul Kufur. Dari sinilah diambil istilah Darul Islam dan Darul Kufur atau Darul Harb. Jadi, penambahan kata Islam, kufur atau harb pada “Dar” adalah mewakili sistem hukum (undang-undang) dan pemerintahannya. Oleh kerana itu untuk menggunakan istilah ‘dar’ atau ‘negara’, ianya selalu dikaitkan dengan penguasa iaitu berkenaan:

(1) pemeliharaan kepentingan umat mengikut undang-undang tertentu dan
(2) kekuatan (negara) yang menjaga/membela rakyat serta melaksanakan undang-undang tersebut, iaitu faktor keamanannya.

Dari sinilah dua syarat yang disebutkan di atas ditekankan. Selain itu mengenai syarat penerapan hukum-hukum, ia digali dari dalil al-Quran dan juga Sunnah. Firman Allah:

“Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Mai’dah (5):44].

Dalam Hadis riwayat ‘Auf ibnu Malik mengenai kedudukan pemimpin-pemimpin zalim, tercatit sebahagian di dalamnya:

“…ditanyakan oleh para sahabat: ‘Wahai Rasulullah tidakkah kita perangi saja mereka itu dengan pedang?’ Baginda menjawab: ‘Tidak selama mereka masih menegakkan solat (maksudnya menerapkan hukum-hukum Islam) di tengah-tengah masyarakat”.

Terdapat juga hadis riwayat Ubadah ibnu Samit mengenai bai’at aqabah, di mana katanya:

“Dan hendaknya kami tidak menentang kekuasaan penguasa kecuali (sabda Rasulullah:) ‘Apabila kalian melihat kekufuran yang bersifat terang-terangan, yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah.”.

Di dalam riwayat Imam Thabrani disebut ‘kekufuran yang jelas’ (surahan). Manakala syarat keamanan mestilah keamanan Islam, yakni di bawah kekuasaan kaum Muslimin, ini diistinbat dari firman Allah:

“Dan Allah (selama-lamanya) tidak memberi hak bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Ayat ini bermaksud tidak boleh memberi ruang kepada orang-orang kafir untuk berkuasa atas orang-orang Mukmin. Ini adalah kerana dengan memberikan kekuasaan kepada mereka bererti menjadikan keamanan kaum Muslimin berada di bawah kekuasaan mereka (kufur) bukan di bawah kekuasaan Islam. Keadaan ini boleh dilihat di negara kaum Muslimin saat ini seperti Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi, Kuwait, Libya dan banyak lagi yang mana pemimpin mereka nyata-nyata tunduk di bawah rejim kafir Amerika. Walaupun (kerana keterbatasan ruang) kami tidak dapat mengungkapkan semua nas, namun berdasarkan nas yang qat’i dari al-Quran dan Hadis, ternyata pada hari ini, tidak ada satu negarapun di dunia ini, termasuk Malaysia yang layak disebut negara Islam. Namun perlu difahami bahawa istilah negara sekular atau negara kufur bukanlah membawa maksud penduduknya juga semua sekular atau kufur. Istilah ini merujuk kepada ‘negara’ bukan ‘individu’nya. Adapun untuk individu, perlu dilihat kepada akidah dan pemikiran yang dimilikinya untuk menentukannya samada ia adalah seorang Muslim, kafir atau sekular.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita mengetahui bahawa Negara Islam adalah Negara Khilafah dan inilah bentuk negara dan pemerintahan yang diwariskan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para sahabat baginda serta generasi sesudah mereka hingga ke hari kiamat. Kita juga mengetahui bahawa Negara Khilafah ini telah runtuh kira-kira 83 tahun yang lalu, tepatnya pada tanggal 3 Mac 1924 dan sejak itu hingga sekarang, Negara Khilafah ini masih belum muncul kembali. Sedarlah wahai saudaraku bahawa tidak ada satu negara kaum Musliminpun, termasuklah Malaysia, yang boleh diberi status Negara Islam. Seluruh tanah kaum Muslimin telah mewarisi bentuk pemerintahannya dari penjajah kuffar, bukannya diwarisi dari Rasulullah. Justeru itu, bangkitkanlah kalian untuk menunaikan kewajiban kalian mengembalikan semula, melalui tariqah Rasulullah, Negara Khilafah yang merupakan satu-satunya Negara Islam yang sebenar.

Harga Gula Naik, Rakyat Terus Dihimpit

November 30, 2012
 

PUTRAJAYA 9 Mei – Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuat kuasa esok. Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zin Mohd. Dom berkata, dengan kenaikan itu, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta.  “Dengan kadar subsidi sebanyak 20 sen sekilogram, penjimatan dapat dilakukan sebanyak RM116.6 juta. – Utusan

Sumber : Utusan Malaysia, 09/05/11

Kerajaan Sekular Semakin Kedekut Dengan Rakyatnya

Akan datang kepada masyarakat tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada tahun-tahun itu pembohong dipandang benar, yang benar dianggap bohong; pada tahun-tahun tersebut pengkhianat diberi amanat, sedangkan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu yang berbicara adalah ruwaibidhah.” Lalu ada sahabat bertanya, “Apakah ruwaibidhah itu?” Rasulullah menjawab, “Orang bodoh yang berbicara/mengurusi urusan umum/publik.” (Dalam riwayat lain disebutkan, ruwaibidhah itu adalah “orang fasik yang berbicara/mengurusi urusan umum/publik” dan “al-umara (pemerintah) fasik yang berbicara/mengurusi urusan umum/publik”) [HR Ahmad, Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Bazzar].

Pengumuman kenaikan harga gula itu sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan  rakyat setelah sebelum ini berlaku siri-siri kenaikan harga bagi pelbagai jenis barang yang lain. Oleh kerana itu, amat tepat jika nama Barisan Nasional atau  BN itu diganti maksudnya dengan ’Barang Naik’.

Nampaknya slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan hanyalah satu ungkapan membius untuk memperbodohkan rakyat. Di dalam sistem Kapitalis, yang  paling diutamakan bukanlah rakyat tetapi para konglomerat dan individu kaya yang pro-pemerintah. Ini adalah kerana, merekalah yang akan ’menyalurkan dana’ di dalam pilihanraya umum tidak berapa lama lagi. Di dalam sistem kufur ini, pemimpin menipu, merompak dan berniaga dengan rakyat adalah perkara biasa dalam dunia politik sekular kapitalisme yang menjijikkan. Negara yang dikuasai oleh para pemimpin sekular akan terus menipu rakyatnya dengan mencipta pelbagai alasan.

Wahai umat Islam! Bebanan yang semakin perit ditanggung oleh kebanyakkan rakyat pada ketika ini adalah bukti yang jelas bahawa pemerintah umat Islam pada hari ini telah gagal untuk mengurus rakyatnya dengan cara yang baik. Rakyat akan terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barang. Sedangkan sudah menjadi kewajiban bagi negara memberikan subsidi kepada rakyatnya dan bukan sebaliknya. Setiap pemerintah seharusnya sedar bahawa kewajiban dan tanggunjawabnya yang paling utama adalah untuk mengurus urusan umat. Kepada semua pemimpin umat Islam di seluruh dunia; renungilah sabda Rasulullah SAW ini: 

“Siapa saja yang dianugerahkan Allah sebagai pemimpin, tetapi dia tidak berbuat sesuatu untuk kebaikan rakyatnya (malahan sebaliknya menipu dan menzalimi rakyatnya ), Allah mengharamkan surga untuknya”.
[HR. Bukhari].

Rasulullah SAW bersabda :

“Orang yang paling sakit siksaan di hari kiamat adalah pemimpin yang zalim (curang)”. [HR Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud].

KEKURANGAN GULA – Hakikat Atau Sengaja?

November 30, 2012
 Sejak dua bulan kebelakangan ini, isu bekalan gula mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Kekurangan bekalan gula menjadi masalah utama pengguna di Malaysia hari ini. Malahan sesetengah pekedai runcit dan pemilik pasar raya terpaksa menghadkan setiap orang pelanggan membeli dua pek kecil sahaja. Elbert Leng, 40, berkata, dia terpaksa bertindak sedemikian bagi memastikan bekalan gula tidak habis di pasar rayanya [Utusan, 16/6/2006]. Di sesetengah kedai dan pasar raya pula terpaksa meletakkan tanda ’gula habis’ di rak barangan mereka. Ramai pengusaha restoran dan peniaga kuih muih tempatan merungut kerana kekurangan bekalan gula turut menjejaskan pendapatan mereka. Pastinya pengguna yang menjadi mangsa dalam hal ini dan ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerbu sebuah kedai yang terletak di Sungai Buloh, Selangor kerana meletakkan syarat pembelian barangan melebihi sepuluh ringgit kepada pembeli untuk membeli dua bungkus gula [Utusan, 18/6/2006]. Sautun Nahdhah kali ini ingin mengupas masalah kekurangan gula ini, adakah ia benar-benar berlaku atau disengaja, apakah puncanya dan bagaimana penyelesaiannya. Apakah hukumnya menyorok barang dan juga menetapkan harga.

Apakah Yang Dikatakan Menjadi Punca?

Masalah kekurangan gula ini dikaitkan dengan masalah pengeluaran yang dialami oleh Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Kilang ini hanya mampu mengeluarkan 50% sahaja daripada keupayaan mereka untuk mengeluarkan gula. Ini kerana banjir yang telah menimpa Perlis menyebabkan pengeluaran hasil tebu merosot. Walaubagaimanapun, faktor ini bukanlah faktor besar kerana kilang tersebut telah mendapatkan bekalan bahan mentah yang mencukupi. Malahan terdapat tiga lagi syarikat pengeluar gula negara iaitu Malayan Sugar Manufacturing Sdn. Bhd., Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. dan Gula Padang Terap Berhad. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal, kapasiti pengeluaran gula negara adalah 1.2 juta metrik tan setahun manakala permintaan gula negara hanya 936,000 metrik tan sahaja. Sepatutnya berlaku lebihan bukannya kekurangan bekalan gula [Utusan, 7/6/2006]. Ini bermaksud masalah kekurangan gula mustahil berlaku kecualilah jika pihak pengilang tidak mahu mengeluarkannya.

Selain daripada itu, aktiviti penyeludupan dan penyorokan gula merupakan antara faktor penyumbang kepada masalah kekurangan gula di pasaran. Beberapa kejadian penyeludupan di perairan negara juga dikatakan sebagai penyebab. Begitu juga dengan aktiviti penyorokan gula. Kegiatan menyorok dilakukan oleh para pemborong yang mahu memberikan tekanan kepada kerajaan supaya menaikkan harga gula yang sudah 10 tahun tidak dikaji semula. Kebanyakan peniaga yang menyorok gula berbuat demikian dengan harapan harga gula akan naik apabila bekalan berkurangan di pasaran. Terdapat beberapa kes penyorokan gula telah dapat dikesan sepanjang krisis kekurangan gula ini berlaku. Seorang pemborong telah menyorok sebanyak 6,530 kilogram gula dianggarkan berharga RM10,000.00 di rumahnya di Jalan Bakar Sampah, Semeling, Sungai Petani [Utusan, 12/6/2006]. Pemborong terbabit mendakwa bekalan gula tersebut disimpan di rumahnya untuk sementara waktu memandangkan stor premisnya di Merbok telah penuh. Manakala kes kedua melibatkan seorang peniaga perabot di Petaling Jaya yang menyimpan gula sebanyak satu tan di stor kedai perabot miliknya [Utusan, 16/6/2006]. Apabila ditanya tentang simpanan gula sebanyak itu, peniaga terbabit mengatakan ia adalah stok untuk menyambut hari raya.

Penyelesaian Menurut Pemikiran Kapitalis

Akibat daripada kemelut ini, pelbagai langkah dan cara telah diambil dan dicadangkan oleh pelbagai pihak. Sebagai contoh, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) giat menjalankan pemeriksaan terhadap kapal-kapal yang disyaki dan meningkatkan kawalan di lokasi-lokasi kritikal yang dikenal pasti sebagai pintu utama penyeludupan barangan di kawasan perairan negara. Beberapa langkah lain turut diambil oleh KDRM. Sementara itu, beberapa persatuan pengguna telah meminta pembeli supaya memboikot gula sebagai tindak balas kepada pemborong dan peniaga yang menyorok dan tidak menjual bahan itu. Tindakan itu boleh dijadikan pengajaran terhadap mereka yang sengaja mahu mengenakan tekanan kepada kerajaan bagi menaikkan harga gula. Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor dan Wilayah Persekutuan pula menyarankan kepada semua pengguna untuk menukar budaya pengambilan gula. Rakyat Malaysia disyorkan menukar amalan penggunaan gula pasir dalam makanan dan minuman kepada manisan lain seperti madu, gula dari pokok palma, gula tiruan dan berbagai manisan lain yang dikatakan lebih sihat dan selamat [Utusan, 16/6/2006]. Malahan ada yang mencadangkan supaya kempen ’Tak Nak Gula’ diadakan.

Sebenarnya cara-cara yang dicadang atau dilakukan di atas bukanlah penyelesaian kepada masalah tetapi merupakan reaksi kepada masalah. Cadangan ini langsung tidak menyelesaikan masalah rakyat kerana harga gula alternatif sebenarnya lebih mahal daripada gula pasir. Gula merah harganya RM1.89 sekilogram, gula kastor pula RM1.49 sekilogram, gula batu RM4.00 dan gula melaka RM5.98 [Utusan, 18/6/2006]. Apakah rakyat diminta beralih daripada yang murah kepada yang lebih mahal?

Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan pula mencadangkan supaya kerajaan “menaikkan sedikit harga gula” bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan itu sekarang. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga turut memberi cadangan yang sama agar harga gula dinaikkan sebanyak 30 sen [Utusan, 18/6/2006]. Walaubagaimanapun, cadangan daripada pihak FOMCA itu telah mencetuskan kemarahan banyak pihak kerana dianggap tidak membela nasib pengguna.

Manakala di pihak kerajaan pula, KPDNHEP mungkin memperkenalkan semula lesen perniagaan barang kawalan berjadual kepada peruncit-peruncit gula sepertimana yang pernah dibuat sebelum tahun 1991, jika masalah kekurangan gula terus berlaku [Bernama 16/6/2006]. Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan dua pilihan bagi menangani masalah kekurangan gula di pasaran iaitu membanteras aktiviti penyeludupan dan rakyat perlu mengurangkan pengambilan gula. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob juga tidak menganggap masalah kekurangan gula sebagai membimbangkan sebaliknya ia memberi peluang kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan, katanya. [Utusan, 7/6/2006].

Cadangan-cadangan tersebut menggambarkan betapa taraf berfikir umat yang tidak boleh keluar dari kepompong pemikiran yang telah dibalut rapi oleh Sang Kapitalis. Tidak ada seorang pun yang cuba melihat cara penyelesaian dari perspektif Islam. Masing-masing menggunakan aqal sebagai jalan keluar dan merasakan itu adalah penyelesaian yang terbaik. Di dalam Ideologi Kapitalis yang memisahkan agama dengan kehidupan, peranan aqal sememangnya didewa-dewakan dan diletak lebih tinggi dari hukum Allah. Apabila berlaku masalah, aqallah yang terus memberikan solusi, tanpa memandang apakah itu bertepatan dengan kehendak Islam atau tidak. Halal dan haram tidak lagi menjadi ukuran. Wahai kaum muslimin! Ingatlah bahawa Allah menganugerahkan aqal kepada kita untuk memahami hukum syara’, bukan untuk merubahnya. Setiap penyelesaian wajib berdasarkan hukum Allah, bukan hukum aqal.

Hukum Penimbunan (Ihtikar) Menurut Islam

Penimbunan atau monopoli, di dalam bahasa Arab disebut Ihtikar. Secara bahasa ia bermaksud menimbun atau mengumpul sesuatu dan menahan (tidak mengeluarkannya) sementara menunggu harganya naik, kemudian menjualnya dengan harga yang mahal. Ihtikar juga bermaksud Istabadda iaitu menyorok barang-barang agar dapat dijual dengan harga yang mahal di kemudian hari. Syarat terjadinya penyorokan adalah ianya mesti sampai pada satu tahap di mana ia menyukarkan masyarakat setempat untuk membeli barang yang disorok tersebut. Seandainya tidak menimbulkan kesukaran (untuk membeli), maka aktiviti sorok tidak dikatakan berlaku. Dengan kata lain, Ihtikar bermaksud aktiviti menimbun atau menyorok barang (dari diperdagangkan) sehingga menimbulkan kesulitan bagi masyarakat setempat bagi mendapatkan komoditi tersebut, untuk kemudian dijual dengan harga yang mahal.

Inilah antara hakikat yang terjadi atau lebih tepat yang di amalkan, di dalam Sistem Ekonomi Kapitalis. Kaum Kapitalis atau pemilik modal biasanya melakukan penimbunan dan penyorokan barang untuk membunuh semua industri yang ada kecuali industri mereka. Setelah itu mereka melakukan penjualan barang tersebut di pasaran supaya mereka boleh menentukan harga mengikut apa yang mereka inginkan. Oleh itu, di dalam Sistem Kapitalis, naik turun harga tidak hanya bergantung kepada penawaran dan permintaan, tetapi juga kerana adanya aktiviti menimbun dan menyorok. Sang Kapitalis tidak pernah memikirkan kesukaran masyarakat. Selagi mereka boleh mencekik darah orang lain, mereka akan melakukannya. Apa yang diambil kira hanyalah manfaat individu atau kroni semata-mata. Sebab itulah di dalam dunia Kapitalis, kita biasa mendengar dan melihat ’orang yang mengambil manfaat di atas kesengsaraan orang lain.’ Inilah apa yang berlaku sekarang!

Sebagai seorang muslim, kita wajib menyelesaikan setiap masalah mengikut apa yang Allah wahyukan. Kita wajib yakin 100% bahawa agama yang Allah turunkan ini pasti dapat menyelesaikan setiap inci masalah manusia. Tidak ada satu persoalan pun yang tidak dapat dijawab oleh Islam. Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang tidak sempurna. Terkutuklah manusia yang tidak mahu mengambil hukum Allah sebagai jalan penyelesaian. Rata-rata umat Islam terutamanya para pemimpin kaum muslimin telah mengambil pilihan selain daripada apa yang Allah turunkan, mengambil jalan penyelesaian berlandaskan aqal, bukannya berdasarkan apa yang Allah tetapkan.

Di dalam Islam, menimbun dan menyorok barang adalah haram. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari Mu’ammar bin Abdullah al-Adawi bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. bersabda, ”Tidak akan melakukan penimbunan kecuali orang yang salah (khati’).” Al-Atsram meriwayatkan dari Abu Umamah, ”Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang penimbunan makanan.” Dalam hadis ini ada tuntutan untuk meninggalkan dan adanya celaan terhadap orang yang melakukannya iaitu disebut dengan perkataan khati’ (orang yang berbuat dosa atau maksiat). Ini bermakna tuntutan meninggalkan di sini adalah tegas (jazm). Dalam pembahasan usul fiqh, apabila ada larangan dan ianya bersifat jazm, maka larangan tersebut adalah larangan tahrim (haram). Oleh yang demikian, aktiviti menimbun dan menyorok barang adalah jelas-jelas haram dalam pandangan Islam. Pelakunya (Muhtakir) adalah berdosa dan wajib dita’zir.

Aktiviti menimbun dan menyorok adalah haram di dalam segala hal, samada menyorok makanan asasi manusia ataupun ternakan ataupun yang lain samada makanan ataupun bukan makanan samada keperluan asas ataupun pelengkap. Ini adalah kerana perkataan Ihtikar itu sendiri bermaksud mengumpulkan sesuatu secara mutlak bukan hanya terbatas kepada mengumpul makanan atau keperluan asasi sahaja. Ia bermaksud menimbun dan menyorok apa sahaja. Walaupun hadis di atas menyebut makanan, tetapi apa yang dimaksudkan hanyalah salah satu contoh. Ini kerana larangan Ihtikar disebut di dalam beberapa riwayat secara mutlak, tidak dibataskan (muqayyad) kepada barang-barang tertentu sahaja. Hadis-hadis yang menyentuh tentang Ihtikar juga datang dalam bentuk umum, tanpa ada apa-apa pengkhususan kepada barang-barang tertentu. Justeru, keharaman Ihtikar berlaku ke atas apa-apa barang sekalipun, termasuklah gula.

Hukum Menetapkan Harga (Tas’ir)

Di antara isu yang terkait rapat dengan penimbunan dan penyorokan ini adalah isu kenaikan dan penetapan harga (Tas’ir). Tas’ir merupakan manifestasi dari aktiviti Ihtikar yang berlaku. Justeru, apakah pandangan Islam tentang Tas’ir?. Kita perlu sedar bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada setiap orang untuk membeli dan menjual sesuatu selama mana barangan tersebut adalah halal dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga membiarkan manusia untuk menjual dan membeli dengan harga yang disukainya. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, ”Sesungguhnya jual beli itu sah kerana suka sama suka”. Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam secara jelas telah memberikan hak menentukan harga kepada mereka yang terlibat di dalam melakukan transaksi/aqad tersebut sahaja.

Di dalam Sistem Ekonomi Kapitalis yang diamalkan hari ini, kita sering menyaksikan bahawa Pemerintah menetapkan harga apabila berlakunya Ihtikar. Peristiwa sebegini boleh dikatakan telah menjadi routine. Penetapan harga oleh Negara bermaksud Pemerintah atau orang-orang yang diberi kuasa oleh Pemerintah mengarahkan para peniaga tidak menjual sesuatu komoditi kecuali dengan harga tertentu (yang telah ditetapkan) atas alasan kepentingan umum. Jadi, para peniaga tidak dibenar menaikkan atau menurunkan harga, selain dari apa yang telah ditetapkan. Hal ini bermaksud Pemerintah telah campurtangan di dalam aktiviti jual-beli. Jadi, apakah hukumnya Negara menetapkan harga sesuatu barang dagangan?

Allah sekali-kali tidak memberi hak kepada Pemerintah untuk menetapkan harga. Dengan kata lain, penetapan harga oleh Negara adalah haram. Penetapan harga ini akan memaksa rakyat untuk melakukan aktiviti jual beli dengan harga tersebut. Islam telah mengharamkan penetapan harga secara mutlak. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas,

Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, seandainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab,

‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Yang Maha Mengenggam, Yang Maha Melapangkan, Yang Maha Memberi Rezeki, lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.’”

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah,

”Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ’Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.’”

Mereka meminta kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) untuk menetapkan harga. Kemudian Rasulullah menyatakan bahawa jika baginda berbuat demikian bererti baginda telah melakukan kezaliman. Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa penetapan harga (yang dilakukan oleh Negara) sebenarnya adalah satu bentuk kezaliman. Jika Rasulullah sendiri tidak melakukan perkara ini, apakah hak ke atas pemimpin untuk menetapkan perkara yang sama. Siapakah yang ingin kita ikuti di dalam agama ini? Rasulullah atau …? Oleh yang demikian, mana-mana Pemerintah yang telah menetapkan harga, maka mereka telah berdosa kerana melakukan suatu keharaman. Jika Sistem Pemerintahan Islam berjalan, maka pemerintah ini akan diadili di Mahkamah Madzalim kerana kefasikan yang telah mereka lakukan.

Sebagaimana Ihtikar, Tas’ir juga boleh berlaku ke atas apa jua komoditi, samada makanan atau bukan. Hadis-hadis berkenaan Tas’ir mencegahnya secara mutlak, dalam apa bentuk sekalipun dan tidak ada pengecualian-pengecualian khusus. Jika ditinjau dari segi realiti, penetapan harga adalah sesuatu yang amat membahayakan masyarakat dan negara dalam apa keadaan sekalipun, samada semasa perang atau aman. Ini adalah kerana apabila ada penetapan harga, maka masyarakat akan berjual-beli di pasaran tertutup untuk mengelak dari pengawasan Negara. Dengan kata lain, inilah yang dinamakan pasaran gelap (black market). Harga yang tinggi menyebabkan barang hanya akan dikuasai atau dimiliki oleh orang yang kaya sahaja, yang berpendapatan rendah atau yang miskin menjadi mangsa. Penetapan harga juga akan memberi kesan kepada penggunaan (consumption) dan seterusnya akan mempengaruhi pengeluaran (production). Situasi ini boleh membawa kepada krisis ekonomi.

Di dalam Islam, setiap orang mempunyai hak ke atas barangan kepunyaan mereka. Pemilikan ke atas harta (ownership of the property) memberikan hak kawalan (control) ke atas harta yang dimiliki. Penetapan harga akan menyebabkan pemaksaan (interdiction) ke atas harta seseorang, perkara yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Jadi, tidak boleh (haram) melakukan interdiction (Hajr) ke atas harta seseorang yang mana menghalang mereka dari memperjual-belikan harta tersebut mengikut harga yang mereka sukai. Sistem Ekonomi Islam benar-benar menjaga hak setiap individu agar tidak dirampas oleh individu yang lain. Hak individu juga dijaga oleh Islam dari dirampas dengan sewenang-wenangnya oleh Negara.

Jika harga melambung akibat peperangan atau krisis politik, ataupun akibat daripada kekurangan barang di pasaran, maka Islam ada jalan penyelesaiannya. Jika ia berlaku akibat dari Ihtikar, maka jelas Islam telah mengharamkannya. Tetapi jika ia berlaku memang semata-mata kerana kekurangan (shortage) barang tersebut, maka Khalifah, yang Allah tugaskan untuk memelihara kemaslahatan rakyat, wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah kekurangan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan membawa barangan tersebut dari tempat lain (import), sekaligus akan menstabilkan semula harga. Inilah yang pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa berlaku kebuluran di Hijaz (yang dikenali sebagai peristiwa Ramadha) akibat kurangnya bahan makanan pada suatu tahun, yang menyebabkan harga makanan telah melambung tinggi. Khalifah Umar al-Khattab tidak menetapkan harga tetapi sebaliknya mengirim dan membekalkan makanan dari Mesir dan Syam ke Hijaz sehingga krisis ini selesai tanpa perlunya penetapan harga.

Wahai kaum muslimin! Ini hanyalah secebis dari keindahan Sistem Islam, bak sebentuk cincin di padang pasir. Maha Suci Allah yang mencipta sistem yang penuh dengan keindahan, keadilan dan kesempurnaan ini. Sistem Islam adalah sistem yang Allah ciptakan untuk manusia. Ianya sesuai dan wajib diterapkan di sepanjang zaman. Tidak boleh diubah dan ditukar ganti. Dengan penerapan yang kaffah, manusia akan keluar dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Saudaraku, masihkah kalian berharap pada Sistem Kapitalis yang begitu menekan, menindas dan merampas hak kalian. Ideologi kafir inilah yang dipaksakan ke atas kita sekarang. Masihkah kalian menaruh harapan pada Ideologi Kapitalis yang busuk dan jijik ini?

Khatimah

Sebagaimana banyak penderitaan yang telah kita saksikan, di dalam dunia hari ini yang mengamalkan Ideologi Kapitalis (termasuk Malaysia), maka apa yang sedang kita saksikan dan apa yang tak habis-habis akan kita saksikan adalah kesengsaraan demi kesengsaraan yang akan menimpa rakyat. Para Kapitalis tidak akan merasa apa-apa penderitaan kerana inilah hakikat Ideologi mereka yang sememangnya memihak kepada mereka (para Kapitalis). Kita dapat bayangkan bahawa kalau harga gula naik sehingga RM10.00 sekilogram sekalipun ataupun lebih tinggi dari itu, ia tidak akan memberi kesan sedikitpun kepada para menteri atau golongan yang kaya-raya. Tetapi yang menderita di dalam Sistem Kapitalis ini, tak lain tak bukan adalah rakyat yang bukan Kapitalis. Satu-satunya cara untuk keluar dari segala penderitaan dan kesengsaraan ini adalah dengan melemparkan sejauh-jauhnya Ideologi kotor cipataan manusia ini dan menggantikannya dengan sistem yang penuh rahmat yang datangnya dari Pencipta manusia.

Wahai saudaraku yang mulia! Sekiranya seorang muslim itu mengambil hukum syara’ di dalam segala perbuatannya, menjadikan halal dan haram sebagai tolok-ukur bagi setiap tindakannya, dan seterusnya dosa dan pahala sebagai timbangannya, maka InsyaAllah setiap masalah akan berjaya diatasi. Jika perlanggaran tetap juga dilakukan oleh mana-mana individu, maka adalah menjadi tugas masyarakat untuk mengingatkan mereka yang lalai ini. Negara pula, yang menerapkan hukum syara’ di dalamnya akan menghukum setiap pelaku kesalahan sesuai dengan apa yang Allah perintahkan. Dan para pemimpin, dengan beban yang Allah pikulkan atas mereka sebagai pemelihara rakyat wajib mencari jalan keluar berdasarkan petunjuk dari kitabullah dan sunnah RasulNya serta i’tibar dari Khulafa’-ur-Rashidun. Inilah sebenar-benar petunjuk dan sebenar-benar jalan penyelesaian. Kita tidak akan dapat mengecapi penyelesaian yang Allah redhai kecuali dengan adanya seorang Khalifah yang benar-benar akan menerapkan seluruh hukum Islam, hasil dari kesedarannya bahawa dia adalah Khalifah Allah di muka bumi, yang memikul amanah Allah untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Alam hanya akan dipenuhi rahmat dengan diterapkan hukum Allah di dalamnya. Semoga Allah menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah yang akan menerangi dunia untuk kedua kalinya. Amin ya Rabbal ’alamin.