KEHARAMAN BAI‘ AL-‘INAH

1. Hadis Peringatan tentang Bay‘ al-‘Inah عن ابن عمر رضي الله عنه قال، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إذا تبايعتم بالعينة وأخذتم أذناب البقر ورضيتم بالزرع وتركتم الجهاد سلّط الله عليكم ذلاّ لا ينزعه حتّى ترجعوا إلى دينكم. Terjemahan: Daripada Ibn ‘Umar r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah, kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung kepada pertanian lalu kamu meninggalkan jihad , nescaya Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu dan Dia tidak akan mencabutnya daripada kamu hinggalah kamu kembali kepada agama kamu.

Hadis sahih di atas menunjukkan pengharaman bay‘ al-‘inah kerana akad ini merupakan antara faktor turunnya bala Allah s.w.t. ke atas manusia. Dalam perbicangan ilmu Usul Fiqh, jika sesuatu perkara atau perbuatan itu diikuti dengan ancaman dosa, azab atau bala maka ia menunjukan bahawa perkara tersebut adalah ditegah dalam Islam.

2. Athar Para Sahabat dan Tabi‘in Pertama: Saidatuna ‘A’isyah r.a. عن ابن إسحاق السبيعي ، عن امرأته أنها دخلت على عائشة فدخلت معها أم ولد زيد بن أرقم فقالت : يا أم المؤمنين إنّي بعت غلاما من زيد بن أرقم بثمان مائة درهما نسيئة، وإنّي ابتعته منه بستّ مائة نقدا. فقالت لها عائشة بئس ما شريت وبئس ما اشتريت ، أبلغي زيدا أنه قد أبطل جهاده مع رسول الله صلى الله عليه وسلم إن لم يتب. وأفحمت صاحبتنا فلم تتكلم طويلا ثمّ إنها سهل عليها فقالت : يا أم المؤمنين أرأيت إن لم آخذ إلا رأس مالي؟ فتلت عليها: “فمن جآءه موعظة من ربّه فانتهى فله ما سلف وأمره إلى الله …” Terjemahan : Daripada Ibn Ishaq al-Subay‘i, daripada isterinya bahawa dia telah menemui ‘A’isyah dan masuk bersamanya ummu walad Zayd Bin Arqam lalu berkata; “Wahai Ummu al-Mu’minin, sesungguhnya aku telah menjual seorang hamba kepada Zayd Bin Arqam dengan harga lapan ratus dirham secara tangguh. Dan aku kemudiannya membelinya semula dengan harga enam ratus dirham secara tunai”. Maka berkata ‘A’isyah kepadanya; “Itu adalah seburuk-buruk jual beli yang engkau lakukan. Sampaikan kepada Zayd bahawa dia telah membatalkan (pahala) jihadnya bersama Rasulullah jika dia tidak bertaubat”. Perkataan ‘A’isyah itu telah membuatkan sahabat kami terdiam lalu ia tidak berkata-kata agak lama. Kemudian setelah dia menerima kata-kata ‘A’isyah itu lalu dia berkata; “Apakah pandangan puan jika saya hanya mengambil modalku sahaja?” Lalu ‘A’isyah membacakan firman Allah yang bermaksud : maka sesiapa yang telah didatangi akan peringatan daripada Tuhannya lalu ia behenti(meninggalkannya) maka baginya adalah modalnya dan urusannya adalah diserahkan kepada Allah [Al-Baqarah : 275].

Berdasarkan athar di atas Ibnu Qudamah telah menegaskan bahawa bay‘ al-‘inah adalah ditegah kerana Saidatina ‘A’isyah tidak akan berkata dengan sedemikian tegas kecuali kerana adanya tawqif yang beliau dengar sendiri daripada Rasulullah s.a.w.

Kedua: Anas Bin Malik r.a. روي عن أنس ، أنه سئل عن العينة فقال : إن الله لا يخدع ، هذا مما حرّمه الله ورسوله. Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas, bahawa beliau telah ditanya berkenaan al-‘inah, maka beliau berkata : Sesungguhnya Allah swt tidak boleh ditipudaya. Ini (al-‘inah) adalah daripada apa yang diharamkan oleh Allah dan rasulNya.

Ketiga : Ibnu ‘Abbas r.a. قال ابن عباس : اتقوا هذه العينة. لا تبع دراهم بدراهم وبينهما حريرة. Terjemahan: Takutlah (hindarilah) akan al-‘inah. Janganlah kamu berjual-beli(bertukar) beberapa dirham dengan beberapa dirham dan antara kedua-duanya ada secebis sutera (sebagai barang perantara). Selain daripada para sahabat di atas, terdapat kalangan kibar Tabi‘in yang turut mengharamkan bay‘ al-‘inah, antaranya Hasan Basri, Ibn Sirin, al-Sya‘bi, al-Nakha‘i dan Rabi‘ah bin ‘Abd al-Rahman.

3. Ijma‘ Lanjutan daripada dalil-dalil di atas, berkata Ibn Qayyim : “Sesungguhnya para sahabat seperti ‘A’isyah, Ibn ‘Abbas dan Anas telah memfatwakan keharaman bay‘ al-‘inah dan bersikap keras dalam perkara tersebut pada masa dan situasi yang berbeza-beza, dan tidak datang daripada kalangan sahabat yang merukhsahkannya / memberi kelonggaran terhadap muamalah ini, maka ini menunjukkan telah berlakunya ijma‘ di kalangan mereka dalam pengharaman bay‘ al-‘inah.”

4. Kaedah Sadd al-dharai‘ Bay‘ al-‘inah adalah dhari‘ah kepada riba kerana akad jual beli yang dilakukan bukannya untuk memiliki ma‘qud ‘alaihi, tetapi sebagai jalan untuk memperoleh tunai dengan perbezaan nilai. Perbezaan nilai ini adalah riba dan riba adalah diharamkan. Maka bay‘ al-‘inah adalah diharamkan atas dasar sadd al-dharai‘.

5. Dalil Ma‘qul (logika) Bay‘ al-‘inah adalah helah untuk mengelakkan riba sarih (riba yang jelas). Sedangkan riba adalah muamalah yang diharamkan dalam Islam. Oleh itu, bagaimana mungkin diharuskan bay‘ al-‘inah sedangkan hakikat dan mafsadahnya adalah sama dengan riba sarih itu sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: