Adakah Berpakaian Menurut Islam Menindas Wanita

Dalam satu ucapan di Parlimen Perancis pada 22hb. Jun, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy berkata: “Isu burqa bukanlah satu isu agama, ia adalah satu persoalan tentang kebebasan dan maruah wanita. Ini bukan satu simbol agama. Ia adalah satu simbol penghambaan, penguasaan dan penyerahan wanita. Saya berjanji bahawa ia tidak akan dialu-alukan dinegara kita. Kita tidak boleh menerima ada perempuan dinegara kita yang terpenjarakan disebalik gril, terpisah dari kehidupan sosial, dinafikan identiti mereka.” Sarkozy – seorang kaki perempuan dan penzina menyeru akan hak-hak wanita! Sarkozy, seorang penyokong setia pengharaman hijab di Perancis yang telah menjejaskan pendidikan saudara-saudara perempuan kita di Perancis. Jika ada sebarang penguasaan yang telah dilakukan disini – ia hanyalah untuk mengawal pemikiran wanita Muslim daripada Islam, nilai-nilai Islam, kod berpakaiannya; dan jika ada sebarang tekanan yang dihadapi oleh wanita Muslim – ia hanyalah tekanan untuk tunduk kepada nilai-nilai liberal sekular negara-negara Barat dengan memperlekehkan Islam dan mengharamkan hijab.

Bukan Sarkozy seorang yang berpendapat sedemikian mengenai pakaian wanita Muslim –
penghinaan bebas dalam halaman-halaman akhbar dan mulut-mulut ahli politik Barat terhadap hijab, jilbab, niqab dan burqa.

“Hijab….dengan serta-merta menunjukkan satu sistem kepercayaan yang mana wanita lebih inferior daripada lelaki dan ini tidak boleh diterima disini.” – Minette Marrin – The Times

“….nilai-nilai yang ditunjukkan oleh pakaian ini sangat menjijikkan dan menghina pada saya. Saya dapati pakaian-pakaian ini merupakan manifestasi tradisional yang lapuk…menindas wanita, kadang-kadang dengan secara yang menghinakan, kejam dan tidak bertamadun.” – Deborah Orr – The Independent – berkenaan niqab.

Adakah dengan menutup aurat akan menjadikan wanita lebih rendah daripada lelaki, dibelenggu dan tidak menonjol dalam masyarakat? Apakah nilai-nilai liberal sekular buatan manusia seperti kebebasan sebagai jalan untuk memerdekakan wanita?

Adakah Islam Memperhambakan Wanita?

Sarkozy berkata bahawa burqa dan niqab akan menjadikan wanita hamba kepada lelaki. Tidak ada sesiapapun yang menyangkal bahawa Sarkozy tidak mengetahui satu atau dua perkara mengenai “Penghambaan wanita” – tambahan pula dia berkahwin dengan Carla Bruni, seorang bekas model bogel. Walaubagaimanapun, wanita Muslim tidak perlu belajar bagaimana untuk berpakaian daripada suami seorang wanita yang mencapai kemasyhuran dengan memperlihatkan kepada dunia bagaimana untuk bertelanjang. Dan tidak juga kita perlukan pelajaran tentang penghambaan wanita daripada sebarang pemimpin negara liberal sekular yang membenarkan penghambaan wanita disisi undang-undang seperti membiarkan kewujudan rumah-rumah pelacuran, pornografi dan kelab-kelab ‘lap-dancing’ – kesemuanya diatas nama kebebasan, kebebasan seksual – wanita yang hanya memuaskan nafsu lelaki.

Ramai yang berhujah bahawa kebebasan di Barat membawa martabat kepada wanita. Jika benar, apakah yang dikatakan maruah jika 1 daripada 4 orang wanita adalah mangsa keganasan rumahtangga di United Kingdom; apakah kehormatan yang diberi kepada dua orang wanita yang dibunuh setiap minggu oleh pasangan atau suami mereka; apakah maruah yang telah dibawa kepada 28 million wanita yang didera oleh suami atau pasangan mereka di Amerika Syarikat – Negara Kebebasan, dimana seorang wanita didera setiap sembilan saat dan penderaan adalah penyebab utama kecederaan wanita yang berumur diantara 15 hingga 44 tahun – melebihi kombinasi kemalangan kereta, kes samun dan rogol.
Jika kebebasan telah memartabatkan wanita, mengapa 1 daripada 20 wanita telah dirogol di United Kingdom (UK); dan mengapa setiap 2 ½ minit seorang wanita menerima serangan seksual di Amerika Syarikat (AS), seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Kehakiman AS? Apa yang dibawa oleh kebebasan kepada ribuan wanita yang berhadapan dengan gangguan seksual ditempat-tempat kerja dalam masyarakat Barat – 50% wanita di UK, menurut satu laporan Suruhanjaya Equal Opportunity dalam tahun 2000.

Oleh itu, jika orang memperkatakan bahawa wanita dalam Islam tidak bebas berpakaian sebagaimana yang mereka sukai – saya akan berkata, Ya, anda adalah betul, kita tidak bebas, kita berpakaian menurut sebagaimana yang diperintahkan oleh Pencipta kita – hijab, jilbab, Dia yang memberikan kita nyawa, kepadaNya kita akan kembali, Dia yang sentiasa kita syukuri. Dia Subhanahu wa Taala berfirman, “…hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.” [TMQ An-Nur : (31)]

“Apabila seorang kanak-kanak perempuan mulai baligh, tidak boleh kelihatan kecuali muka dan dua tapak tangan hingga pergelangan tangannya.” [HR Abu Dawud].

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan (memanjangkan/melabuhkan) jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” [TMQ Al-Ahzab: (59)]

Kita berpegang kepada sebuah agama, iaitu Islam, yang menerangkan bahawa lelaki tidak bebas untuk melihat wanita sesuka hatinya ataupun mempergunakan wanita untuk menjual sesuatu produk – tidak ada wang di dunia ini yang dapat membeli kehormatan seorang wanita. Mengapa? Kerana maruah dan kehormatan wanita adalah amat berharga dalam Islam.

Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Dunia dan segala isi kandungnya sangat berharga tetapi yang paling berharga di dunia adalah wanita beriman.”
Sebagai wanita Muslim, kita berpakaian yang menyatakan – “kami enggan dijadikan hiasan untuk tontonan umum”. Pakaian yang memperlihatkan – “kami menuntut supaya dihormati sebagai seorang wanita yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, bukan pemuas nafsu lelaki”. Inilah pembebasan yang dibawa oleh Islam dan pakaian ini kepada wanita.

Adakah Wanita Lebih Rendah/Hamba Kepada Lelaki Dalam Islam?

Satu lagi tuduhan yang dilemparkan kepada wanita Muslim yang bertudung adalah ia akan merendahkan status mereka dalam masyarakat, membuatkan mereka hamba dan berstatus rendah (inferior) daripada lelaki. Adakah kita percaya bahawa “mini skirt” boleh membuatkan wanita superior dari lelaki? Mengapakah kebebasan wanita itu bergantung kepada sebanyak mana tubuh badan yang didedahkan kepada umum? Apa yang lebih merendahkan statusnya adalah apabila sesebuah masyarakat berkata, tidak mengapa wanita digunakan sebagai satu objek untuk memenuhi kehendak lelaki, adakah baik untuk merendahkannya dengan cara ini?

Jika ahli-ahli politik dan wartawan–wartawan Barat hendak memperkatakan tentang penghambaan wanita, mengapa tidak mereka perkatakan perihal tekanan yang dihadapi oleh wanita-wanita dinegara-negara sekular secara berterusan hanya untuk sentiasa tunduk kepada tuntutan masyarakat dari segi keterampilan, berpakaian, berat dan bentuk tubuh badan – tunduk kepada idea – “Kamu tidak cukup bagus”. Sehinggakan ramai wanita dengan sukarela mengambil tindakan segera, yang kadang-kadang membahayakan nyawa mereka hanya kerana untuk merubah rupa paras mereka. The British Association of Aesthetic Plastic Surgeons telah melaporkan peningkatan sebanyak 36% dalam pembedahan “facelifts” di UK, dari 2006-2007; Dalam tahun 2007, terdapat 11.7 million pembedahan kosmetik di AS. (91% adalah wanita). Di UK pula, lebih 1 million wanita mempunyai masalah “eating disorder”; 1 dalam 20 wanita di AS mengalami anoreksia, “bulimia” atau “binge eating disorder”; 1,000 wanita mati setiap tahun kerana anoreksia (American Anorexia/Bulimia Association). Apakah pembebasan seperti ini akan dibawa kepada wanita-wanita Afghanistan, Iraq dan dunia umat Muslim melalui sekular, liberal, demokrasi sepertimana yang diperkatakan mereka?

Pakaian ini bukannya membuatkan kita merasa rendah diri (inferior), tetapi sebaliknya ia membebaskan kita dari superfisial, tidak realistik, sentiasa cantik dan jika tidak, kita akan merasa inferior. Ia membebaskan kita daripada paranoia yang menyatakan tidak cukup bagus; Ia menyatakan bahawa kecantikan saya tidak mencapai taraf untuk perbincangan umum; ia menyatakan bahawa jika anda ingin menilai saya – maka nilailah dari segi pemikiran, skil, keupayaan, bukan bagaimana rupa paras saya. Wanita Muslim bukan hamba kepada lelaki – hanya kepada Yang Maha Mencipta dan sepertimana yang dikehendakinya. Jadi, apabila Dia Subhanahu wa Taala memerintahkan seorang wanita supaya mentaati suami, bapa dan abangnya, dia melakukannya dengan besar hati, penuh kerelaan dan kemuliaan kerana dia mengetahui bahawa dia akan mendapat keredhaan dan pelbagai ganjaran dari Yang Maha Pencipta Subhanahu wa Taala. Tetapi, tidak ada wanita Muslim yang perlu mematuhi suami, bapa dan abangnya jika mereka menyuruhnya membuka tudung – kepatuhan dan penghambaan hanya kepada yang satu (Allah), yang telah menghidupkan.

Bagaimana pemimpin-pemimpin dan wartawan-wartawan Barat seperti Deborrah Orr, Melanie Philips dan Polly Toynbee menuduh Islamlah yang membuatkan wanita lebih status atau martabat daripada lelaki? Apakah mereka tidak mengetahui bahawa:-

1. Ketika pemikir-pemikir Eropah seperti Rousseau dan Voltaire bertelagah mengenai kecerdikan wanita yang dikatakan tidak setanding lelaki dalam abad ke-18 – Islam di
abad ke-17 telah menerangkan bahawa kecerdikan dan kepentingan lelaki dan wanita adalah sama kerana mereka diciptakan dari satu jiwa.

2. Ketika wanita dinegeri-negeri sekular terpaksa berjuang untuk mendapatkan hak-hak asas seperti mengundi dan hak untuk menyuarakan pandangan politik mereka, 1,400 tahun lalu, Islam telah membenarkan wanita untuk aktif berpolitik dan mengundi.

3. Ketika wanita di AS dan Eropah berjuang untuk mendapat peluang untuk pendidikan tinggi, sejarah Khilafah Islamiah telah dipenuhi oleh ribuan cendekiawan wanita, dihormati kerana ketinggian ilmu mereka sambil memberi kuliah-kuliah di masjid, maktab dan universiti pada ketika itu.

4. Pada abad ke-7 di Syria, Ummu al-Darda telah memberi syarahan mengenai hadis dan fikih di salah sebuah masjid utama disana – diantara pelajarnya termasuklah Khalifah Syria; – pada abad ke-9 di Mesir – Imam Shafie ditengah-tengah kemasyurannya telah duduk di dalam kumpulan Nafisa binti Hasan di al-Fustat untuk mempelajari ilmu fikih; Sheikha Shuhda, pada abad ke 12 – telah memberi syarahan di salah sebuah masjid utama Baghdad – ibukota dan seperti sebuah universiti dan telah mengajar Imam Bukhari.

Ketika laungan “Women’s Rights” masih lagi dianggap satu perkataan kotor dalam perbendaharaan kata dinegeri-negeri sekular Barat hingga abad 14, lebih 1400 tahun yang lampau, Islam telah mengangkat status wanita dalam masyarakat daripada dimiliki oleh lelaki, dianggap tidak signifikan dalam masyarakat, bukan dilihat sebagai seseorang yang mempunyai hak dan identiti tersendiri, mempunyai hak-hak yang sama seperti lelaki dalam pendidikan, ekonomi dan politik. Justeru, pembebasan wanita daripada lelaki dan untuk mendapat hak-hak wanita, seseorang itu perlu melihat kepada Islam untuk mendapatkan jawapannya.

Adakah Islam Mengenepikan Wanita?

Ramai yang berfikir bahawa burqa dan hijab membelenggu dan mengenepikan wanita, malah kita dikatakan telah dipaksa oleh lelaki supaya berpakaian sebegini. Justeru, kita perlu meneliti apakah yang mengenepi/menguasai wanita Muslim sebenarnya?

Apakah kita tidak boleh berfikir untuk diri kita sendiri? Ia telah memaksa supaya kita membuka tudung. Ini adalah komen-komen yang menghina Islam dan kod pakaian kita yang telah meningkatkan prejudis dan diskriminasi dalam masyarakat terhadap kita.

Apa yang sebenarnya membelenggu wanita Muslim dan memutuskan mereka dari kehidupan sosial adalah pengharaman hijab di Perancis, Jerman, Turki dan negara-negara sekular lain; yang telah menghalang ribuan wanita untuk mendapatkan pendidikan yang baik; telah menyebabkan wanita Muslim dibuang kerja; telah menghalang wanita untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kesemua ini adalah halangan-halangan bagi wanita Muslim bergerak aktif dalam kehidupan sosial dalam masyarakat Barat. Bukan kerana pakaian kita dan yang pasti sekali bukan Islam. Jika berpakaian sebegini dikatakan satu paksaan, bolehkah ahli-ahli politik dan pihak media beranggapan bahawa orang-orang yang berfikir akan mempercayai bahawa jutaan wanita Muslim yang bertudung diseluruh dunia berbuat demikian kerana mereka telah dipaksa oleh lelaki?

Bukan disebabkan paksaan untuk bertudung, ramai wanita yang berkeinginan untuk memakai hijab dan jilbab tidak berbuat demikian kerana menghadapi tekanan supaya tidak berbuat demikian akibat prejudis, pandangan terhadap mereka, impak keatas pendidikan atau pekerjaan mereka, dan ditambah dengan persekitaran yang anti-Islam dalam masyarakat Barat. Persekitaran yang anti-Islam ini, diburukkan lagi dengan komen-komen anti-Islam oleh ahli-ahli politik dan wartawan-wartawan Barat, telah membawa malapetaka keatas kehidupan wanita Muslim yang tinggal di Barat. Seperti pembunuhan tragis keatas saudara kita Marwa El-Sherbini di Jerman pada awal bulan ini, yang telah dibunuh kerana hijabnya; “A Martyr of the hijab” sepertimana yang dipanggil oleh ramai umat Muslim. Ini adalah sesuatu yang mengejutkan apabila ahli-ahli politik Barat berdiam diri diatas pertumpahan darah ini, pembunuhan ngeri seorang ibu muda yang dibunuh kerana berpakaian seperti yang dituntut oleh Islam di halaman belakang rumahnya, tetapi menuduh berpakaian seperti ini menindas wanita.

Bagaimana Perundangan Islam Membebaskan Wanita?

Telah tiba masanya kita mengalihkan perdebatan ini, serangan keatas cara kita berpakaian. Kini adalah masanya untuk kita membongkar kepalsuan pembebasan wanita sepertimana yang didakwa oleh Barat. Serangan-serangan keatas hijab, jilbab dan niqab oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik Barat menunjukkan bagaimana mereka menggunakan burqa mereka untuk menutupi kegagalan dalam meyakinkan wanita Muslim tentang cara hidup sekular.

Wanita Muslim di UK mempunyai peranan untuk menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa perundangan buatan manusia yang sebenarnya menindas wanita – dan bukan (perundangan) Islam; Jika ada tudung yang perlu kita buka, tudung itu adalah tudung penipuan yang menyelubungi pakaian dan layanan
Islam terhadap wanita.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” [TMQ Fushilat : (33)]

Oleh itu apabila orang berkata bahawa sehelai pakaian ini menindas kita, Respon kita – “Tidak!!”; ia menjelaskan cara untuk lelaki berhubungan dengan wanita dalam sesebuah masyarakat, jauh dari objek mainan kepada seorang manusia, yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat.

Apabila orang berkata bahawa kita telah dipaksa oleh lelaki untuk memakai pakaian ini, Tidak! Lelakilah yang sepatutnya menilai wanita sebagai seorang ahli masyarakat yang setaraf dengannya, bukannya suatu hiasan untuk memenuhi keinginan mereka. Apabila orang berkata bahawa pakaian ini telah meragut kebebasan kita – responnya adalah “So What” – Kenapa kita mesti menerima nilai kebebasan yang membawa banyak penderitaan kepada ramai wanita; nilai kebebasan yang cacat yang dibawa oleh Barat telah jelas ditonjolkan dengan pengharaman hijab – kebebasan yang “ada hari ini dan hilang keesokannya”. Dan ingin diperjelaskan di sini bahawa kita tidak berpakaian seperti ini kerana kebebasan memilih – untuk menerima ini bererti menerima kebebasan untuk wanita menanggalkan pakaian sesuka hati mereka, yang mana sebagai seorang wanita beriman, tidak mungkin ini yang kita lakukan.

Kita berpakaian seperti ini kerana perintah daripada Yang Maha Pencipta. Pakaian Islami ini, seperti juga perundangan dan hukum-hakam sosial dalam Islam – larangan untuk bersosial diantara lain jantina, larangan pornografi dan seksual masyarakat, larangan berzina – kesemua hukum ini untuk memastikan status wanita tidak direndahkan. Hukum, peraturan ini adalah bagi memastikan hubungan seksual hanya terhad dalam perkahwinan. Ia juga untuk memastikan apabila wanita dan lelaki berinteraksi dalam masyarakat, sebarang kemungkinan yang membawa kepada keinginan seksual tidak menjadi satu penghalang kearah kerjasama yang sihat antara kedua-dua jantina. Inilah pembebasan keatas wanita dan umum yang dibawa oleh masyarakat Islam dalam Daulah Khilafah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: