Bahaya pemikiran kelompok Ahbash

SUKA mengkafir dan menyesatkan orang lain bukan akhlak muslim. Ahlul Sunnah wal Jamaah berpegang kepada asas tidak mengkafirkan individu Muslim lain melainkan terdapat bukti yang yakin tanpa syak dan tidak keuzuran lagi yang boleh diberikan kepadanya.
Sabda Nabi SAW:” Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sikap suka menuduh orang lain kafir atau sesat sewenang-wenangnya merupakan penyakit jiwa yang terpendam dalam dada si penuduh yang berpunca daripada keegoan, sikap pantang berbeza pendapat, suka monopoli kuasa dan suka menyalahgunakan agama. Lebih bahaya daripada itu, sikap suka mengkafir ini akan membawa kepada perbalahan yang meruncing dalam masyarakat Islam, bahkan sering membawa kepada tumpah darah yang banyak terjadi dalam sejarah umat ini.
Kebelakangan ini kita dapati ada pihak yang tidak menerima beberapa pandangan jumhur ulamak Islam. Tidak dapat menerima itu tidak menjadi masalah, kerana memang adat kehidupan untuk manusia berbeza pendapat. Tetapi apabila mereka yang enggan menerima pandangan yang dianggap berbeza dengan tradisi yang mereka pertahankan itu mula menggunakan pendekatan kafir mengkafir dan sesat menyesat, ini amatlah merbahaya.
Antara aliran yang terkenal suka mengkafirkan orang lain ialah aliran Ahbash. Ahbash adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki Habsyi atau Afrika yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari. Mereka mendakwa sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir.  Dr. Yusuf al-Qaradawi mengulas tentang puak ini dengan katanya: “Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jemaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pendapat- pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan yang merbahaya dalam persoalan akidah, fiqh dan akhlak dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu.
Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa saja yang mengikut dua tokoh ini. Demikian juga mereka mengkafirkan ramai daripada ulama semasa seperti al-‘Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-‘Asy‘ariy segi aqidah, mazhab al-Imam al-Syafie segi fiqh dan mengikut Tarikat al-Rifa‘iyyah dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu sama ada dalam pemikiran, adab dan akhlak.
Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habsyah (Ethiopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baru, padahal hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengkucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menyebut: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahabi dan taksub dengan para imam Wahabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”
Timbalan Presiden The European Council for Fatwa and Research (ECFR), al-Syeikh Faisal Maulawi menyebut: “al-Ahbash atau (Jam‘iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah) mereka adalah anak-anak murid al-Syeikh Abdullah al-Harari. Mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara akidah yang menjadikan mereka mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya hanya kerana sebab-sebab yang remeh-temeh. Sama halnya, mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara fiqh yang berbeza dengan kebanyakan para ulama hari ini. Perbincangan dengan mereka tidak mendatangkan faedah, kerana mereka tidak akan menerima melainkan pandangan-pandangan syeikh mereka. Jika kamu (orang yang meminta fatwa) menjauhi masjid-masjid mereka (golongan Ahbash), itulah yang lebih utama bagi mengelak berlakunya perbalahan yang tidak berfaedah”.
Kementerian Wakaf Mesir, Bahagian Dakwah pula membuat kenyataan berikut: “Maka untuk pertama kalinya muncul seorang lelaki yang pelik dari Habsyah, pelik dari segi pemikiran dan metod yang diikutinya dalam menyebarkan fitnah di kalangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Pertama kali juga tersebarnya kalimah takfir (pengkafiran) melalui lisan sebahagian mereka. Juga pertama kalinya terjadi masalah kekeluargaan lalu anak-anak mengkafirkan ayah-ayah mereka dan berlakunya persengketaan dan perpecahan antara ayah dengan anak-anak.
Pertama kalinya muncul mereka yang melampau ke atas ulama besar Ahlul Sunah wal Jamaah yang beramal dan berjuang di atas agama dengan cara yang dipenuhi dengan hasad dengki dan menghukum para ulama sebagai kafir. Sesungguhnya al-Habasyi (pengasas Ahbash) mengkafirkan ulama besar seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Di antara ulama Lebanon yang mereka kafirkan ialah Hassan Khalid, Subhi Salih, dan Faisal Maulawi dan banyak lagi yang mereka kafirkan dari ulama-ulama Al-Azhar al-Syarif”.
Antara perkara menakutkan yang digunakan oleh puak Ahbash ini, selain dari maki-hamun, cerca, fitnah dan serangan peribadi, mereka juga menggunakan pendekatan menghalalkan darah orang yang mereka musuhi. Sebab itu di Lebanon, sebelum ini mereka begitu bermaharajalela sehinggalah mereka dikaitkan dengan pembunuhan Presiden Rafiq Hariri. Ini apabila Ulil Amri yang dirasakan sudah tidak dapat bekerjasama dengan mereka. Sebelum itu mereka juga mengkafirkan bekas Mufti Lebanon Hasan Khalid dan membunuhnya. Mereka menulis di dinding-dinding di Lebanon: “Katakan tidak kepada Hassan Khalid yang kafir”.

Tabiat
Menjadi tabiat puak Ahbash ini suka memfitnah mengada-adakan cerita bohong dan mempersendakan gambar dan mengubah fakta. The Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA) menyebut bagaimana pengasas mereka Abdullah Harari berpakat menghasut pihak berkuasa Habsyah sehingga menyebabkan pengetua Pusat Tahfiz al-Quran di sana di penjarakan selama 23 tahun. (http://www.amjaonline.com/ar). Pendekatan menggunakan pihak berkuasa dan mendampingi pemerintah dengan menyebarkan racun fitnah, cerca, mengkafir merupakan jalan yang dipilih oleh Ahbash di negara-negara yang mereka cuba bertapak.
akhbar al-Watan ketika melaporkan kematian pengasas Ahbash itu menyebut: “Kelmarin (2/9/2008) Abdullah al-Harari, Pengasas dan Mursyid kerohanian bagi gerakan al-Ahbash telah meninggal dunia di Lebanon ketika umurnya 98 tahun…Al-Harari (Abdullah al-Harari) dilahirkan di Harara pada tahun 1910M, seterusnya berpindah-randah di beberapa negara Arab sebelum menetap di Lebanon pada tahun 1950M, beliau sering mengkafirkan para ulama umat Islam.” (Akhbar al-Watan: Rabu 3 Ramadan 1429, bersamaan 3 September 2008, bil. 2896 tahun kelapan).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: